M. Kumar.

JOHOR BAHRU – Polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video seorang lelaki yang ditembak depan sebuah restoran di Taman Setia Indah di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar juga menggesa orang ramai mengelak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat salah yang boleh mengganggu siasatan atau menyebabkan keresahan.

“Jangan sebarkan khabar angin atau buat spekulasi liar yang akan membawa kepada ketakutan yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kumar turut memberi jaminan kepada orang ramai kejadian tembakan itu sebagai insiden terpencil dan tidak membabitkan kebimbangan keselamatan yang lebih meluas di Johor.

Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki berusia 40 tahun itu meninggal dunia akibat empat kesan tembakan.

Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selama 30 saat menunjukkan seorang lelaki memakai jaket biru muda, topi keledar hitam berpenutup penuh, menyarung beg dan sarung tangan dilihat berjalan ke arah seorang lelaki sedang bercakap di telefonnya di hadapan restoran.

Klip tanpa audio itu merakamkan suspek menghampiri mangsa dari belakang sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Suspek dilihat terus melepas tembakan walaupun mangsa rebah dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Kejadian itu membawa spekulasi dalam kalangan netizen kemungkinan suspek adalah pembunuh upahan.

Setakat ini siasatan polis dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here