KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa menjadikan isu ekonomi rakyat sebagai fokus utama tanpa menyebelahi sebarang ideologi politik, gesa Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia sudah sering dijamu dengan kerap isu-isu politik yang telah dimainkan sedangkan pula rakyat sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat daripada kenaikan kos sara hidup dan hutang isi rumah.
“Masalah-masalah sebegini telah menyumbang kepada meningkatnya pengisytiharan bankrap dan sekaligus menyumbang kepada pelbagai masalah sosial dalam negara ini.
“Bukan itu sahaja, malah terdapat banyak kes yang mana individu menghadapi gangguan mental akibat daripada dibelenggu oleh pelbagai hutang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi turut berkata, isu-isu ekonomi rakyat seolah-olah telah dialihkan dengan sentimen-sentimen politik yang sememangnya hanya memburukkan lagi keadaan rakyat dan tidak seharusnya perkara sebegini untuk terus berlaku.
“MAPIM tidak menafikan bahawa kerajaan Madani melakukan yang terbaik dalam membantu rakyat Palestin tetapi ini tidak bermakna isu ekonomi rakyat perlu diketepikan begitu sahaja.
“Maka, kami menasihatkan semua pihak supaya mengutamakan isu ekonomi rakyat dan tidak lagi bermain sentimen politik demi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette