JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik pendingin hawa tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memukul seorang lelaki menggunakan sebatang kayu snuker, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Salehudin Mohamed, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 56 tahun menggunakan sebatang kayu snuker yang digunakan sebagai senjata.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pusat snuker di Taman Rinting, Masai di sini, pukul 10.55 malam, pada 4 Disember lalu.
Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afdhallan Syafiq Azmy tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin membenarkan jamin.
Peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya.
“Tertuduh adalah seorang bapa kepada tujuh anak yang berusia antara 14 hingga dua tahun, dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,800 sebagai juruteknik pendingin hawa,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, sekiranya ada dan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Februari ini.- MalaysiaGazette