Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap pada Perbentangan Usul Muktamar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sepatutnya memperbetulkan keterlanjuran, kelemahan dan konflik dalaman kerajaan yang disifatkan lebih berpotensi menjatuhkan Putrajaya berbanding membuat tuduhan melulu terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang berkait tulisannya berkenaan isu titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tulisan Presiden Pas yang bertajuk `Pakatan Derhaka Mengoyak Topeng Raja Berperlembagaan’ sama sekali tidak menyebut atau mengaitkan DAP, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan dan tuduhan Anthony terhadap Abdul Hadi dan Pas adalah tersasar sama sekali,  malah mendedahkan sentimen melulu beliau dan partinya terhadap Pas.

Ujarnya, rujukan kepada DAP oleh Abdul Hadi menerusi tulisan itu hanya dibuat berkait kedudukan dominannya dalam kerajaan dan bagaimana kedudukan itu serta citra parti tersebut mampu membentuk dan mempengaruhi pertimbangan atau keputusan-keputusan Putrajaya.

“Pembaca yang teliti akan dapat menangkap tema utama tulisan Presiden Pas itu berkaitan dengan status, keunggulan serta keutamaan institusi Raja Berperlembagaan, selain keperluan menghormati, mematuhi dan mempertahankannya daripada kecenderungan dan tindak-tanduk yang menyanggahi dan mencabarnya.

“Selain peranannya sebagai tonggak penting pemerintahan, ia juga perlu dipertahankan sebagai payung dan pelindung tujuan-tujuan murni Islam, termasuk dalam isu-isu keadilan, kehakiman, ihsan dan maslahat rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Anthony seperti dilaporkan media menyifatkan tulisan Abdul Hadi berhubung isu titah adendum Najib itu sebagai tindakan keji yang merupakan mainan politik ulangan Pas yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu.

Anthony juga dilaporkan turut menyifatkan Pas tcuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memecahkan Kerajaan Perpaduan, amat gila kuasa dan gelojoh untuk merampas kuasa di Putrajaya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, tuduhan yang dibuat Anthony berkenaan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak sekian lama sentimen yang sama membentuk naratif standard DAP terhadap Pas untuk tujuan-tujuan politik parti tersebut.

“Bersekali dengan naratif ini, DAP juga sangat terkenal dengan naratif “victim mentality” sebagai helah menyorok keengganan dan ketidakmampuannya meminta maaf atau mengambil tanggungjawab ke atas tindak-tanduknya sendiri,” katanya.

Jelas Takiyuddin, dalam konteks isu-isu berkait kes Najib dan sekali lagi tanpa merujuk kepada DAP, Abdul Hadi dalam tulisannya menyalahkan kerajaan atas kecamuk yang berlaku, terutama melibatkan titah adendum dan surat daripada Istana Pahang berkait hal yang sama.

Ujarnya, Abdul Hadi menyifatkan kegagalan kerajaan menghormati dan mematuhi kedua-duanya sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan tujuan-tujuan murni agama dan kemanusiaan yang berkait dengannya.

Selain itu, tambahnya, Abdul Hadi juga menempelak tindakan kerajaan yang dilihat mencabar dan memanipulasi institusi berkenaan bagi menutup kegagalan dan kelemahan Putrajaya.

“Barangkali sebagai anggota penting kerajaan, ada baiknya Loke (Anthony) dan DAP harus memikirkan terlebih dahulu isu ini dan tulisan Presiden Pas semasak-masaknya sebelum membuat dakwaan melulu dan tidak matang itu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here