Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar. Foto AIZAT ZAINAL, 31 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan sekiranya tidak mahu menjunjung kedaulatan negara susulan kontoversi video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, menteri yang dilantik di negara ini seharusnya menjadi menteri kepada seluruh rakyat, apatah lagi kepada kaum Melayu dan umat Islam yang merupakan kumpulan majoriti.

Dalam masa sama, ujar beliau, kontroversi montaj itu juga menunjukkan betapa King Sing sebagai menteri tidak berhati-hati dalam meneliti hasil kerja melibatkan tanggungjawabnya apatah lagi dalam majlis besar yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Melayu dan Islam.

“Isunya, kenapa tiada masjid sedangkan tempat ibadat agama lain, yang punyai elemen sejarah itu elok diletakkan! Kemudian Menteri sebut berkenaan inklusiviti?

“Tiba-tiba, apabila ditegur dan diminta penjelasan, dikatakan yang menegur ini sebagai ekstremis, menganggu keharmonian dan tidak menghormati adat dan agama lain? Secebis kemaafan tidak dihulur, dilabel pula dengan pelbagai tuduhan kepada yang menegur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini mempertikai montaj yang dilancarkan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disifatkan meminggirkan identiti utama negara ini iaitu kaum Melayu dan agama Islam.

Montaj itu memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak) dan Skywalk Langkawi (Kedah).

Selain itu, dua rumah ibadat yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong tempatan dan asing turut dipaparkan iaitu rumah ibadat penganut Hindu di Batu Caves, Selangor dan gereja tinggalan penjajah Stadthuys di Melaka.

Bagaimanapun, King Sing mengaku tidak berpuas hati dengan montaj itu dan mengarahkan supaya video promosi yang dalam proses diselesaikan tersebut dibuat semula. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here