LIPIS – Seorang pemuda orang asli maut disondol babi hutan selepas lembing yang dilontar ke arah haiwan liar terbabit tersasar ketika berburu bersama empat lagi rakannya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa dikenali sebagai Johan Yok Boi, 25, dari Kampung Bertang Lama, Pos Sinderut di sini, maut dalam insiden jam 1 tengah hari semalam.
Balai Polis Sungai Koyan mengesahkan menerima laporan daripada rakan mangsa, Rasil Yok Len, 32, yang memaklumkan mangsa cedera parah ketika memburu babi hutan di kawasan ladang sawit Lombong Selinsing.
“Ketika mengendap haiwan itu, Johan cuba mendekati seekor babi dan melontar lembing ke arahnya tetapi tidak terkena sasaran.
“Secara tiba-tiba, babi itu mengamuk dan menyerangnya. Akibat serangan terbabit, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian peha akibat ditusuk taring babi,” katanya.
Mangsa telah dihantar ke Klinik Sungai Koyan untuk rawatan awal dan kemudianya dirujuk ke Hospital Kuala Lipis kerana kecederaan serius yang dialami.
Bangaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawata di unit kecemasan Hospital Kuala Lipis.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan urat besar paha kanan terputus.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette