MERSING – Seorang pemandu lori dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori pada bulan lalu.
Tertuduh, Hasbullah Adam yang berusia 36 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 6.10 pagi pada 26 Disember lalu hingga pukul 1.50 petang pada 28 Disember lalu di Kilometer 48, Jalan Jemaluang-Kahang dekat sini.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan tidak lebih 12 kali sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.
Fang Leong dalam hujahannya memaklumkan, tiada jaminan dibenarkan kepada tertuduh kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, forensik dan lain-lain.
Sebelum ini, media melaporkan, mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher, pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan sebelum mayatnya ditemui di dalam but kereta jenis Proton Waja di tepi jalan tersebut.
Bertindak atas maklumat risikan yang diperolehi, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 33 hingga 35 tahun di Johor Bahru pukul 4.30 pagi, pada 29 Disember lalu.- MalaysiaGazette