Dua penganggur yang disyaki terlibat kes tikam mati seorang nelayan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

BUTTERWORTH – Dua lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kematian  seorang nelayan yang ditikam di hadapan sebuah masjid berhampiran Pasar Bisik Kuala Muda di Penaga dekat sini, semalam.

Perintah reman terhadap dua penganggur berusia 41 dan 65 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani bermula hari ini sehingga 15 Januari depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah jam 10.45 pagi dengan diiring polis.

MalaysiaGazette difahamkan, pihak polis menerima panggilan daripada Hospital Kepala Batas memaklumkan menerima seorang lelaki berusia 47 tahun dalam keadaan parah akibat ditikam di bahagian rusuk kiri.

Mangsa dikatakan dibawa ke hospital berkenaan oleh ahli keluarganya selepas ditikam suspek berusia 41 tahun menggunakan sebilah pisau yang dipercayai milik suspek kedua.

Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek utama sebelum mangsa melibaskan ekor ikan pari ke arah suspek.

Berang dengan tindakan mangsa, suspek bertindak menikam lelaki itu dan mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas lebih 10 jam dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital tersebut.

Susulan itu, pihak polis melakukan tangkapan ke atas dua suspek berkenaan di lokasi kejadian selain merampas pisau yang digunakan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian serta tangkapan dua lelaki tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here