MELAKA – Sebanyak 1,069 notis dikeluarkan terhadap 847 kenderaan atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas Gempur Teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini sejak 25 Disember lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, jumlah notis itu dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik, dan juga pemandu atas daripada 4,874 kenderaan perdagangan dan awam yang diperiksa.
Menurutnya, kesalahan paling banyak direkodkan ialah berkaitan notis JPJ (P) 22 atau teknikal (601), arah periksa Seksyen 61 (1) (219 notis) dan 177 notis larangan penggunaan.
“Turut dikeluarkan adalah 44 notis arah timbang di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan lapan notis arah timbang di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Sebanyak empat notis temu siasat di bawah Seksyen 114 APJ 1987 juga dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Lebih Muatan dan Operasi Teknikal Melibatkan Kenderaan Barangan (KPB) dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) JPJ Bukit Katil, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, tiga kenderaan masing-masing satu kenderaan perdagangan dan dua kenderaan perkhidmatan awam disita kerana lesen kenderaan motor telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Tambahnya, dalam operasi hari ini bermula 5 pagi berakhir 8 pagi tadi, sebanyak 35 kenderaan telah ditimbang.
“Sebanyak 28 daripadanya didapati membawa lebih muatan selain sebuah lori disita kerana tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh,” katanya. – MalaysiaGazette