KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan tindakan menyamakan UMNO dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam isu titah adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sesuatu yang naif.
Tegas beliau, perbandingan itu juga tidak wajar sama sekali kerana perjuangan UMNO dalam isu itu adalah kukuh (solid) berbanding Pas dan Bersatu yang disifatkan `suka main wayang’.
Jelas beliau, UMNO juga akan meneruskan pembelaan kepada Najib melalui proses Perlembagaan dan akan kekal dengan pendekatan tegas, tetapi berhemah.
Ujarnya, tidak timbul isu UMNO lepas tangan atau menyalahkan mana-mana pihak lain dalam isu titah adendum melibatkan Najib memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri mengemukakan afidavit titah adendum masing-masing pada April dan Mei tahun lalu.
“Kenapa Pas dan Bersatu membisu. Kenapa sekarang baru menyalak? Sebab itu tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Muhyidin adalah sebahagian strategi membela Najib.
Sebenarnya UMNO “the winner”. Ahli UMNO solid ikut arahan parti. UMNO akur nasihat YDP Agong. Afidavit Zahid, Wan Rosdy dan Nizar (Datuk Mohamad Nizari Najib) bukan “hearsay”. Akhirnya Mahkamah putus titah adendum wujud,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau merujuk kepada sebuah artikel yang disiarkan menerusi sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang antara lain menyimpulkan Pas sebagai pemenang manakala UMNO adalah pihak yang kalah ekoran membatalkan perhimpunan solidariti buat Najib di Istana Kehakiman Putrajaya, Isnin lalu.
Sementara itu, Mohd. Puad turut menyifatkan tidak timbul isu kononnya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh `hero’ dalam isu titah adendum apabila membuat keputusan untuk menyertai himpunan solidariti buat Najib.
Ini kerana, ujar beliau, UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahli atau pemimpin parti itu menghadiri perbicaraan melibatkan Najib di mahkamah.
Malah, jelasnya, Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sendiri sudah beberapa kali ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Najib.
“(Muhamad) Akmal bukan hadir perhimpunan. Dia sendiri melarang Pergerakan Pemuda hadir perhimpunan seperti dirancang. Tidak timbul UMNO rasa malu. UMNO mengambil tindakan taktikal,” katanya. – MalaysiaGazette