MUAR – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dan rokok seludup pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di sebuah lot kedai di Bukit Pasir di sini semalam.
Anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan suspek yang berumur 27 tahun pada pukul 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya merampas 8,380 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai berjumlah RM9,634.
“Siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan Majistret Mahkamah Muar selama sembilan hari bermula hari ini sehingga 17 Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda amaun nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.
Tambah beliau, kes itu juga disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Suspek boleh dipenjarakan antara enam bukan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya menyeru orang ramai untuk sama-sama memerangi jenayah penyeludupan dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti sebegini.
“Operasi berterusan akan dilaksanakan bagi membendung kegiatan penyeludupan termasuk warga asing yang berada di negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette