Bekas bintang Belanda, Patrick Kluivert menandatangani kontrak dua tahun sebagai pengendali skuad kebangsaan Indonesia.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengumumkan kehadiran Patrick Kluivert selaku ketua jurulatih baharu skuad Sang Garuda dengan kontrak sehingga tahun 2027.

Menerusi kenyataan PSSI, Kluivert akan dibantu oleh dua penolong jurulatih, Alex Pastoor dan Denny Landzaat selain tambahan dua jurulatih tempatan yang akan diserapkan kemudian.

“PSSI mengesahkan kehadiran Patrick Kluivert sebagai pengendali baharu skuad Indonesia.

“Pelatih asal Belanda tersebut diberi kontrak dua tahun bermula 2025 hingga 2027 dengan pilihan untuk menambah tempoh.

“Kluivert akan tiba di Indonesia pada Sabtu ini dan bakal mengadakan sidang media khas kepada umum pada Ahad nanti.

“Kluivert dijadualkan melakukan debut pertama bersama Indonesia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Sydney menentang Australia nanti,” kata kenyataan tersebut.

Kluivert, 48, antara penyerang terbaik Eropah di era 90-an dan awal 2000 di mana  memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama Ajax pada tahun 1995 dan La Liga bersama Barcelona pada tahun 1999.

Dia turut menyarung jersi AC Milan, Newcastle United, LOSC Lille, Valencia dan PSV.

Di pentas antarabangsa, Kluivert mengumpul 79 kap untuk Belanda dan meledak 40 gol menerusi pencapaian terbaiknya bersama negara ialah mara ke separuh akhir Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 yang menobatkannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol.

Selepas bersara, Kluivert memegang beberapa jawatan, termasuk penolong jurulatih Belanda dari tahun 2012 hingga 2014, pengarah bola sepak di PSG (2016-2017) dan penasihat akademi-akademi bola sepak.

Pada Isnin lalu, PSSI membuat keputusan mengejut untuk pecat pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong sehingga mendapat kecaman hebat peminat tempatan.

Sebagai rekod, Tae-yong yang pernah membimbing skuad antarabangsa Korea Selatan dilantik menjadi pengendali Indonesia bermula Januari 2020.

Antara pencapaian cemerlang Tae-yong adalah memacu Indonesia layak ke pentas Piala Asia 2023 selain bersaing dalam kempen kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026 ketika ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here