KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun setiap dua pertuduhan selepas mengaku salah memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh pada Mei tahun lepas.
Tertuduh, Suhaina Sarwan yang merupakan seorang pekerja kilang menyatakan keinsafan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin terhadap dua pertuduhan itu hari ini.
Hakim kemudian menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 30 Mei lalu.
Ketika prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan peguam mewakili tertuduh, Sazlinidayu Kamarul Baharin, anak guamnya sudah dijatuhkan hukuman dua tahun atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi sebagaimana dalam kes pada hari ini.
Kata beliau, anak guamnya mengaku salah dan insaf dengan tindakan itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim pula memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang berat mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi tertuduh.
“Hasil laporan pakar mendapati pemilik item seperti ini mempunyai kecenderungan dan dorongan kepada kepercayaan dan tindakan ekstremisme kumpulan Daesh yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Laporan juga menyatakan pemilik item ini juga mempunyai kecenderungan yang jelas untuk menggalakkan penggunaan kekerasan mencapai objektif perjuangan yang disokong,” hujahnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan pengganas dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba pada 30 Mei tahun lalu.
Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan Daesh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1) iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu. -MalaysiaGazette