Para pelajar UTHM yang terlibat membersihkan pantai dalam progran We Care We Share” dan “Blue Horizons: Protecting Our Oceans.

MUAR – Sebanyak 470 kilogram sampah berjaya dikutip di Pantai Tanjung Ketapang, Muar dan Pantai Bandar Mersing, Mersing oleh 60 pelajar kursus kokurikulum berkredit di bawah Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 5 Januari 2025 lalu.

Menurut penyelaras program, Dr. Muhamad Helmy Sabtu, aktiviti pembersihan kawasan pantai serta pendidikan kesedaran alam sekitar berskala besar yang berlangsung secara serentak di dua pantai tersebut.

Beliau berkata, kebersihan kawasan pantai bukan sahaja perlu dikekalkan bagi tujuan pengindahan kawasan rekreasi awam, tetapi yang lebih penting untuk memelihara ekosistem hidupan laut yang kian terancam dek kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab manusia.

“Hal ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-14 yang menekankan tentang kelestarian hidupan bawah air.

“Kepentingan memelihara alam sekitar perlu diterapkan bukan sahaja kepada golongan dewasa, tetapi juga pada anak-anak kecil kerana mereka inilah yang akan mewarisi alam ini satu hari nanti,” katanya.

Program dengan kerjasama Majlis Perbandaran Muar serta Majlis Daerah Mersing yang diberi nama “We Care We Share” serta “Blue Horizons: Protecting Our Oceans” itu turut disertai para pensyarah, pelajar pascasiswazah, pengunjung pantai dan komuniti setempat.

Ia juga diadakan bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan di kawasan pantai.

Program yang berlangsung dari pagi hingga ke petang itu diisi dengan sesi taklimat, diikuti dengan aktiviti pembersihan kawasan pantai serta aktiviti penghasilan poster 3D alam sekitar dengan menggunakan bahan kitar semula yang terdapat di kawasan pantai.

Para pelajar juga turut bertemu dengan pengunjung di kawasan pantai bagi menyampaikan mesej kesedaran mengenai alam sekitar.

Aktiviti itu juga melatih para peserta meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan penyampaian mesej berkesan.

Sementara itu, Pembantu Kesihatan Awam Majlis Daerah Mersing, Amirullah Atan berkata, penganjuran program seumpama itu amatlah digalakkan kerana pihak berkuasa tempatan sangat memerlukan bantuan dan tenaga tambahan khususnya dalam kalangan orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here