Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam Kementerian Pelancongan (Motac) yang didakwa mengetepikan Islam yang merupakan agama Persekutuan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, kelmarin.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya terkejut setelah melihat kandungan video promosi yang dibuat oleh kementerian berkenaan apabila tidak memaparkan langsung rumah ibadah umat Islam.

“Perkasa berasa bimbang apabila melihat klip video yang tidak memaparkan syiar Islam seperti masjid dalam promosi video tersebut.

“Adakah ini merupakan salah satu penafian yang sedang di buat oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan?

“Mengapa tempat beribadah bukan beragama Islam ada dalam video ini, tetapi rumah ibadat orang Islam seperti masjid tidak dipaparkan dalam video tersebut?” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Irwan Fahmi lagi, Islam adalah agama Persekutuan dan Menteri Pelancongan seperti tidak menghormati agama Persekutuan yang merupakan agama kaum majoriti di negara ini.

“Pelancong ini bukan sahaja tertakluk kepada negara China sahaja apakah sebelum ini negara kita tidak berjaya dalam bidang pelancongan?

“Sebelum kamu menjadi menteri (Datuk Seri Tiong King Sing) negara ini sudah dikenali,” ujarnya.

Sehubungan itu, Perkasa menggesa Kementerian Pelancongan menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat berhubung perkara itu, yang mana Malaysia dikenali sebagai negara Islam diseluruh dunia.

Tambahnya, Perkasa turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula Menteri Pelancongan sedia ada dalam Kabinet Kerajaan Malaysia kerana tindak-tanduknya  telah memberi imej buruk kepada Malaysia.

Dakwanya, Menteri Pelancongan juga telah beberapa kali melakukan perkara sama  termasuk kebudayaan orang Melayu ditiadakan dalam promosi kebudayaan negeri Pulau Pinang sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here