KUALA LUMPUR – Hantaran di Facebook Datuk Seri Najib Razak pada 7 Januari lalu yang didakwa mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi dikatakan telah menghina mahkamah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol berkata, cubaan yang dibuat oleh pengendali media sosial bekas Perdana Menteri itu perlu disiasat pihak berkuasa.
”Cubaan pentadbir Facebook Najib Razak yang berkali-kali mempertikaikan kewibawaan mahkamah dengan menjadikan institusi mahkamah sengaja dicemarkan untuk mewujudkan satu skandal sehingga memberi kesan buruk kepada institusi kehakiman negara adalah tindakan keterlaluan yang bersamaan dengan jenayah menghina mahkamah.
“Oleh yang demikian, satu laporan polis telah dibuat terhadap Eric See-To selaku pentabdir Facebook Najib Razak yang bertanggungjawab atas hantaran terbaru yang menghina mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata, terdapat justifikasi kepada tuntutan berkenaan kerana See-To pernah mengaku bahawa dirinya adalah salah seorang pentadbir Facebook Najib.
Tambah beliau, hantaran menghina mahkamah yang dimuat naik melalui Facebook Najib Razak menyerupai sebuah artikel di laman Malaysiakini yang bertajuk Revisiting Najib’s RM42m SRC Conviction pada 7 Januari lalu yang ditulis oleh Eric See-To.
Malah satu laporan polis dibuat pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.- MalaysiaGazette