KULAI – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga negara itu dan bayinya yang ditemui mati di Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kulai menangkap semua suspek semalam.
“Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 42 hingga 53 tahun ditahan di kawasan Kulai dan Johor Bahru dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 4.30 petang semalam.
“Turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah kereta Proton, satu tilam dan satu tikar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi meneruskan siasatan bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga didenda.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan kes tersebut.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi 07-663 7222.
Kelmarin, beliau dilaporkan mengesahkan penemuan mayat wanita yang juga warga asing itu bersama bayi berkenaan.
Katanya, Balai Polis Kelapa Sawit telah menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 8.15 pagi memberitahu terlihat seorang wanita, bangsa tidak pasti terbaring di tepi jalan.
Polis yang bertindak atas maklumat ke lokasi dilaporkan dan mendapati seorang wanita terbaring di tepi jalan bersama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.
Seng Lee juga dilaporkan berkata, tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi itu dan ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat dijumpai.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: