KUALA LUMPUR – Sebarang usaha promosi melibatkan Malaysia tidak boleh mengabaikan teras-teras negara seperti masjid yang merupakan lambang dan syiar bagi Islam di negara ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, menjadi satu kesilapan yang besar apabila tempat ibadat agama lain dimasukkan dalam promosi pelancongan dalam keadaan ketiadaan masjid sebagai syiar negara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri menggesa kesilapan seperti yang berlaku dalam montaj mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 diperbetulkan segera.
“Masjid syiar pada Islam. Islam pula kedudukannya tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia kerana ia agama bagi Persekutuan sebagaimana artikel 3 Perlembagan Malaysia,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari semalam.
Pelbagai pihak sebelum ini mempertikai montaj yang dilancarkan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disifatkan meminggirkan identiti utama negara ini iaitu kaum Melayu dan agama Islam.
Montaj itu memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak) dan Skywalk Langkawi (Kedah).
Selain itu, dua rumah ibadat yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong tempatan dan asing turut dipaparkan iaitu rumah ibadat penganut Hindu di Batu Caves, Selangor dan gereja tinggalan penjajah Stadthuys di Melaka.– MalaysiaGazette