KLUANG – Seorang remaja berusia 17 tahun antara 13 lelaki yang ditahan dipercayai kerana bergaduh di sebuah kedai makan di bandar ini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, orang awam melaporkan kejadian itu pukul 9.45 malam berkaitan sekumpulan lelaki warga tempatan merusuh.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menahan 13 lelaki pada pukul 11.15 malam di tiga lokasi berasingan. Mereka yang ditahan itu termasuk seorang remaja lelaki berkenaan yang sudah tidak bersekolah.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perang mulut antara dua suspek sejak dua hari lalu sebelum saling mencabar untuk datang ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan mendapati lima daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Bagaimanapun ujian saringan air kencing negatif pengaruh sebarang jenis dadah.
Menurut Bahrin lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Semua suspek dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Januari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette