JOHOR BAHRU – Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 yang sedang dirangka akan melibatkan 8,000 pemegang taruh sektor pendidikan tinggi dalam satu sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas mengenainya.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelan tersebut cukup penting bagi memberikan impak terhadap hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.
“Sejajar dengan tranformasi agenda pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyiapkan pelan pendidikan 2025-2035.
“Tahun ini amat penting kerana kita akan bentangkan pelan jangka masa panjang KPT untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Oleh itu, jawatankuasa mengenai pelan pendidikan ini telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan libat urus membabitkan 8,000 pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir sempena Majlis Perutusan Tahun Baru Menteri Pendidikan Tinggi tahun 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai hari ini.
Hadir sama timbalannya, Datuk Ts Mustapha Sakmud serta Naib Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Zambry seterusnya menjelaskan, proses mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh pendidikan tinggi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tenaga pengajar dan badan bukan kerajaan (NGO) memakan masa yang agak lama.
“Prosesnya agak panjang dan melebar dalam usaha menyediakan pelan pendidikan tinggi demi mamastikan ia mempunyai impak. Pelan yang sedang dirangka ini bakal menjadi agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Berdasarkan Kad Laporan KPT 2024, KPT berjaya mencapai lima fokus utama bagi 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya. – MalaysiaGazette