MPUTRAJAYA – Kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisitif bagi pemasangan Kiosk Sentuhan Madani di premis masing-masing.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi memudahkan orang ramai melakukan sebarang urusan dengan jabatan atau agensi tertentu dalam kerajaan.
“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi. Dengan kerjasama beberapa pihak, kita pasti lokasi seperti pusat beli-belah dan tempat orang ramai memang sesuai (untuk dipasang kiosk),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan Madani di sini, hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiuasha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Kiosk Sentuhan Madani yang kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Februari ini.
Sementara itu, Shamsul Azri menerusi kenyataan berkata, Kiosk Sentuhan Madani menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan direalisasikan sepenuhnya melalui sinergi daripada jabatan dan agensi.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen tinggi sektor awam dan korporat dalam memastikan kejayaan inisiatif ini,” katanya.
Urusan perkhidmatan kerajaan kini menjadi lebih mudah dengan pelancaran Kiosk Sentuhan Madani bagi menyantuni keperluan digitalisasi kepada rakyat.
Kiosk Sentuhan Madani menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi kiosk digital agensi barisan hadapan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah kerana masa operasi yang lebih panjang, sekali gus memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam di luar waktu pejabat.
Bagi fasa pertama, inisiatif Kiosk Sentuhan Madani yang dibangun dan dikendalikan oleh Unit Pantau Madani dengan pembabitan pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta akan beroperasi di Alamanda, Putrajaya bermula hari ini.
Menerusi insiatif itu, sebanyak enam kiosk digital yang menawarkan lebih 90 jenis perkhidmatan ditempatkan di pusat beli-belah berkenaan.
Kiosk itu menawarkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyDigital ID (MIMOS), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). – MalaysiaGazette