KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tion g King Sing hanya mengundang lebih banyak pertikaian apabila menjawab elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan lebih terperinci dalam masa terdekat ini.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mempersoalkan tidak mungkin elemen keislaman dengan memasukkan gambar masjid tidak boleh dimuatkan sekali dalam montaj promosi berdurasi 41 saat itu.
“Kepada YB Menteri Pelancongan, saya perkenalkan Masjid Putra di Putrajaya YB Menteri kata dalam video itu tidak ada visual masjid kerana ia cuma 41 saat.
“Soalan terkini yang sampai pada saya adalah…takkanlah dalam masa 41 saat itu tidak boleh ada visual masjid, sedangkan rumah ibadat lain ada…itu yang ditanya pada saya untuk disampaikan kepada YB menteri.
“Tolong jawab YB Menteri…jawab lurus, tak payah pusing-pusing,” katanya menerusi rakaman ringkas di Instagram beliau hari ini.
Mohd Radzi memuat naik rakaman berkenaan dengan menunjukkan beliau berada di tepian tasik Putrajaya dengan berlatar belakang Masjid Putra.
Terdahulu, King Sing dalam kenyataannya memaklumkan, rakaman tersebuat merupakan video pelancaran ringkas bagi menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif.
Oleh itu, beliau berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti itu yang sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.
Beliau berkata, elemen yang menonjolkan seni, budaya dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video itu seperti silat, tarian Ngajat dan Sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan.
King Sing turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta menjadikannya sebagai bahan perpecahan.
Malah katanya, sikap golongan seperti itu yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial di negara ini. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-