PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King menggesa agensi-agensi pelancongan tempatan meningkatkan mutu perkhidmatan menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Selain itu, beliau turut meminta supaya kadar pakej yang ditawarkan berbaloi dengan pengalaman yang dinikmati oleh pelancong.
“Jangan naikkan harga sewenang-wenangnya. Kalau boleh harga (pakej) sama. Jangan bagi pelancong rasa tertipu.
“Kalau hotel tiga bintang, biarlah berpada-pada dengan promosi dan harga, juga perkhidmatan,” katanya ketika berucap di Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Wilayah Tengah 2025.
Beliau turut mengingatkan supaya agensi pelancongan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan termasuklah menyewakan lesen kepada pihak lain.
“Macam di Sabah ada aduan kata orang dari negara China buat perniagaan pelancongan tapi diperiksa lesen tu disewakan kepada mereka,” tambahnya.
Ujarnya, MOTAC sedia bekerjasama dengan agensi pelancongan namun pihak itu perlu berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Kalau kamu (agensi pelancongan) ada apa-apa isu, kita akan dengar dan cuba bantu selesaikan yang mana boleh.
“Saya mohon jasa baik semua pihak marilah kita sama-sama promosikan Malaysia,” tambahnya.-MalaysiaGazette