ISKANDAR PUTERI – Seorang bekas pekerja kilang sanggup menyimbah minyak panas dan memukul teman wanitanya menggunakan wayar pengecas telefon ketika bergaduh.
Kejadian tersebut berlaku pukul 3.30 petang pada 27 Disember lalu semasa mereka berada dalam rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, akibat tidak tahan dikasari suspek, wanita tempatan yang berusia 29 tahun itu membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ke lokasi kejadian dan menangkap teman lelakinya itu yang berusia 24 tahun.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah terdahulu manakala ujian saringan air kencing mendapati positif dadah. Suspek dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan.
“Pasangan ini sudah berkenalan sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhkbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Menerusi tangkapan itu, polis merampas beberapa barangan termasuk sebuah telefon bimbit, seutas wayar pengecas warna putih dan sebuah beg galas warna hitam.
“Polis turut menemui dua peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 65.7 gram dan sepeket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ganja seberat 15.9 gram,” katanya.
Menurut Kumarasan, suspek sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Januari lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Selain itu suspek juga berdepan tuduhan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin.
“Begitu juga Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis ganja. Suspek tidak mengaku bersalah dan sebutan kes ditetapkan pada 4 Mac depan,” katanya.- MalaysiaGazette