PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) diarahkan mengemukakan cadangan bagi skim perjawatan baharu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyelesaikan isu perjawatan sejumlah 9,719 kakitangan yang berstatus kontrak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan itu perlu dipikul Ketua Pengarah Kemas yang baharu, Datuk Hanafiah Man.
“Menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib seluruh warga Kemas. Insya-Allah KSU (Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar) dan saya akan bantu.
“Jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga,” katanya dalam ucapan perasmian program Pemerkasaan Masyarakat Madani 2025 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, penambahbaikan yang sedang diteliti adalah membolehkan pergerakan gred perkhidmatan kakitangan, iaitu daripada gred S1 boleh bergerak hingga S4 dan S5 ke S8 berikutan majoriti yang berkhidmat melebihi 30 tahun buat masa ini berpencen dalam gred sama.
Dalam soal Jawatan Sementara Kontrak Ke Tetap (JSKT), kakitangan perlu berkhidmat tidak kurang 15 tahun sebelum melayakkan mereka menyertai perkhidmatan tetap.
Ini menjadikan mereka hanya mempunyai tempoh kira-kira 20 tahun saja berada dalam skim perkhidmatan berpencen.
Sebelum itu, Hanafiah berkata, pada masa ini majoriti yang berkhidmat melebihi 30 tahun akan berpencen dalam gred yang sama.
Terdapat 9,719 kakitangan KEMAS berstatus kontrak dengan 1,072 orang berada dalam Gred S1 atau S19 sebelum ini, 191 Gred S2 atau S22 dan 8,458 orang berada dalam Gred S5 atau S29.
Seramai 4,587 orang kakitangan tetap pula telah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga turut mengarahkan agar Tabika Berkeperluan Khas atau Tabika Autisme dibuka di seluruh negara.
“Saya mahu Muhd Khair Razman (Ketua Setiausaha KKDW) mencari peruntukan agar Tabika Autisme ini dapat dibuat diseluruh negara.
“Latihlah guru-guru kita untuk mendapatkan latihan khas, serta melatih, dan saya sangat yakin sekiranya gaji dan elaun dinaikkan mereka akan kerja dengan lebih keras lagi,” katanya.
Untuk rekod, tabika autisme akan mula di beroperasi di Melaka bermula tahun ini dengan memberi keutamaan kepada anak-anak autistik dari golongan B40 terlebih dahulu. – MalaysiaGazette