Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menyifatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa Gateway Development Alliance (GDA) gagal mencapai ambang penerimaan 90 peratus pemegang saham untuk menswastakan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Sedangkan, menurut Ketua Penerangannya, Ammar Atan, GDA tidak gagal kerana pegangan konsortium itu telah meningkat daripada 40.85 peratus pada 6 Disember tahun lalu kepada 84.12 peratus setakat semalam.

Jelasnya, keadaan itu menunjukkan majoriti pemegang saham, selain GDA bersetuju dengan penswastaan tersebut untuk memperkukuhkan kedudukan operasi MAHB.

“GDA hanya memerlukan 5.88 peratus lagi pegangan saham untuk melengkapkan penswastaan.

“Jika faham asas Investing 101, pasti tahu mengapa ada pemegang saham masih belum membuat keputusan.

“Ada pemegang saham menunggu tawaran lebih tinggi berbanding RM11 sesaham sekarang ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan kerajaan menerusi Khazanah Nasional Bhd. melanjutkan tarikh akhir pengambilalihan saham MAHB oleh konsortium GDA mencerminkan kegagalan untuk menswastakan dan menyahsenarai MAHB dari Bursa Malaysia.

Dakwa beliau, sehingga kelmarin, laporan menunjukkan GDA masih gagal mencapai ambang penerimaan 90 peratus daripada pemegang saham dan keputusan untuk melanjutkan tempoh tawaran itu jelas menunjukkan penolakan daripada pemegang saham yang masih mempertahankan kepentingan aset negara.

Sementara itu, menurut Ammar, pelanjutan tarikh akhir tawaran pengambilalihan saham seperti dalam kes MAHB bukanlah perkara luar biasa dalam Bursa Malaysia.

Beliau memberikan contoh dalam kes Sime Darby Bhd. yang melanjutkan tempoh pengambilalihan UMW Holdings Bhd serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut melanjutkan tempoh pengambilalihan Boustead Plantations Bhd..

“Tidak timbul isu jika memahami asas isu ini. YB (Wan Ahmad Fayhsal) perlu belajar dengan pakar Corporate Finance, bukan bergantung kepada YB (Ahmad) Fadhli Shaari (Ketua Penerangan Pas) pakar putar belit negara.

“Para pelabur faham usaha ini bertujuan memperkukuhkan sektor penerbangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here