KUALA LUMPUR – Seorang kontrator syarikat swasta berputih mata apabila terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian hampir RM6 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia 58 tahun telah tertarik dengan satu iklan pelaburan Davidson Kampner Capital Management (DKCM MYS-C) yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook.
Mangsa kemudian diarahkan suspek untuk memuat turun aplikasi bernama A-trade yang didapati dalam Apple Store dan perlu memastikan amaun dalam akaunnya mencukupi bagi membeli unit saham yang diingini dan membuat transaksi mengikut arahan diberikan.
“Mangsa membuat pindahan wang sebanyak 30 kali transaksi berjumlah RM5,900,506.48 dalam lapan akaun syarikat berbeza secara berperingkat bermula September hingga November 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia mulai rasa tertipu apabila tidak menerima pulangan daripada pelaburan yang dibuat.
Hussein berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette