Amad Diallo. Foto Sky Sports.
LONDON – Penyerang muda sensasi Manchester United, Amad Diallo sah menandatangani kontrak baharu yang akan menyaksikan dia kekal bersama kelab itu sehingga 30 Jun 2030.
Tiada pilihan lanjutan setahun diletakkan dalam terma kontrak tersebut dan Amad telah memilih untuk terus menabur bakti di Old Trafford biarpun sebelum ini terdapat dua kelab terkemuka yang cuba untuk menandatanganinya pada bulan ini.
Pada musim ini, pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 22 tahun itu telah merekodkan 50 penampilan dan menjaringkan sembilan gol sejak menyertai kelab itu pada 2021.
Dia telah menjaringkan enam gol, menyumbang tujuh bantuan gol dan dinobatkan Pemain Terbaik Bulanan kelab itu sebanyak dua kali.
“Saya amat berbangga kerana telah menandatangani kontrak baharu ini dan saya sudah melalui beberapa detik yang menakjubkan dengan kelab ini tetapi banyak lagi yang akan hadir nanti.
“Saya mempunyai impian besar dalam bola sepak dan berazam untuk mencipta sejarah di United dan banyak yang saya pelajari sejak tiba di sini empat tahun lalu.
“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih dan kakitangan yang telah membantu saya berkembang maju dan dak lupa juga kepada peminat kerana kerap mendorong saya lebih maju ke hadapan pada setiap masa walaupun berdepan musim yang sukar ketika ini,” katanya di laman web kelab.
Sementara itu, Pengarah Teknikal United Jason Wilcox berkata, semua pihak gembira dengan perkembangan Amad kerana kualitinya dan keazaman menjadikan dia sebahagian daripada individu penting untuk masa depan United.
“Tahun-tahun kecemerlangan karier Amad berada di hadapannya. Kami semua berharap dapat membantu dia untuk mencapai potensi besarnya dan mengecapi kejayaan di kelab ini pada musim-musim yang mendatang,” katanya.
Amad ditandatangani dari Atalanta pada 2020 dengan nilai £37 juta ($46 juta) dan semasa di bawah kendalian Erik Ten Hag, dia pernah dipinjamkan ke Rangers dan Sunderland untuk mendapatkan minit permainan kerana kerap disisihkan.
Dia beraksi cemerlang di The Black Cats apabila menjaringkan 14 gol dari 42 perlawanan sepanjang kempen 2022/23.
Kecemerlangannya di Sunderland membolehkan Amad memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan dan Anugerah Pemain Terbaik Pilihan Peminat Kejuaraan PFA. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here