KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan Waqaf Korporat bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi Bumiputera.
Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, inisiatif tersebut boleh dilaksanakan melalui penggabungan pelaburan strategik antara syarikat berprestasi tinggi dengan syarikat sederhana dalam satu entiti supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Waqaf Korporat adalah satu pendekatan strategik yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan ekonomi melalui instrumen saham wakaf yang berdaya tahan dan lestari.
“Pendekatan ini turut sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dengan matlamat meningkatkan pemilikan ekuiti wakaf dalam sektor strategik dan ekonomi berprestasi tinggi,” katanya.
Terdahulu menurut beliau, cadangan tersebut disuarakan DPIM sewaktu perbincangan strategik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Mohammad Sahar berkata, Waqaf Korporat secara tidak langsung berpotensi menjadi pemangkin kepada ekonomi negara dan sistem sokongan bersepadu kepada usahawan.
“Ia bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi komuniti usahawan, tetapi juga memastikan pertumbuhan inklusif dan kesamarataan ekonomi jangka panjang,” jelas beliau.
“Dengan perancangan lima tahun yang digariskan, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar, termasuk meningkatkan kehadiran pemilikan saham dan jumlah syarikat terutamanya Bumiputera di Bursa Malaysia, dan membangunkan syarikat wakaf yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Tambahnya, ketika perbincangan bersama Anwar, DPIM turut membentangkan dua agenda utamanya iaitu Ekonomi Digital Islam dan Industri Halal ASEAN.
“Berdasarkan kajian DPIM, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di kalangan usahawan di Malaysia masih berada pada tahap 25 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara maju yang telah mencapai kadar penggunaan antara 50 hingga 60 peratus.
“Agenda ini bertujuan untuk membantu usahawan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI bagi meningkatkan daya saing, produktiviti, dan inovasi dalam perniagaan mereka. Langkah ini penting untuk memastikan usahawan tempatan dapat bersaing di peringkat global dengan lebih yakin,” ujarnya. – MalaysiaGazette