KAJANG – Dua daripada tiga beranak yang direman kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh pelajar tingkatan tiga, Yap Xin Yuan, 15, diberi jaminan bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Kominsioner Naazron Abdul Yusof berkata, seksyen berkenaan merupakan kuasa mengambil bon agar kedua-duanya hadir ke mahkamah.
Bagaimanapun katanya, seorang lagi suspek dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.
“Merujuk kepada kes tersebut (kes bunuh Yap Xin Yuan), kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Selangor pada 9/1/2025 dan terdapat arahan lanjut untuk dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula setelah arahan yang berkaitan diambil tindakan.
“Segala tindakan melalui proses undang-undang sedang dijalankan dengan teliti untuk memastikan keadilan terjamin,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, sekumpulan pengamal media menunggu hampir tujuh jam di Mahkamah Kajang susulan reman ketiga-tiga beranak itu dilapor tamat hari ini.
Namun, kelibat suspek mahu pun pihak polis tidak kelihatan.
Malah, pendaftar mahkamah turut memaklumkan, tidak ada daftar bagi kes berkenaan untuk djbicarakan pada hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kajang membenarkan tempoh tahanan reman terhadap tiga beranak itu disambung lima hari.
Ketiga-tiga mereka terdiri daripada teman lelaki mangsa berusia 17 tahun, abangnya berusia 21 tahun serta bapa mereka berusia 52 tahun ditahan pada 30 Disember lalu dan direman selama enam hari.
Majistret Fatin Dayana Jalil, membenarkan permohonan sambung reman terhadap ketiga-tiga mereka sehingga hari ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis dalam kes pembunuhan Xin Yuan.
Mayat Xin Yuan, 15, ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, pada 28 Disember lalu, iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat pada 20 Disember lalu di Kajang.
Hussein berkata, keadaan mayat remaja yang reput ketika dijumpai menyukarkan pakar patologi untuk memastikan sebarang kecederaan fizikal lain.
Ujarnya, polis percaya pembabitan teman lelaki mangsa dalam pembuangan mayat dan siasatan masih dijalankan jika ada individu lain yang membantu suspek membuang mayat.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Banting pada 30 Disember lalu.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada jam 2.15 pagi, sehari selepas kejadian. – MalaysiaGazette