Dua lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Muar atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata di rumah ahli perniagaan

MUAR – Dua lelaki yang terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata di Taman Sri Treh, di sini, bulan lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, hari ini.

Ku Kim Cheong, 35, dan Chu Ching Hwai, 35, membuat pengakuan tersebut atas tiga pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata berupa parang dan kuku kambing di Jalan Treh 13, Taman Sri Treh 1.

Perbuatan itu dilakukan pukul 5.20 petang, pada 17 Disember lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 boleh dikenakan sebatan selain apa-apa hukuman yang boleh dikenakan mengikut mana-mana seksyen lain kanun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, Kim Cheong dan Ching Hwai turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C (1) (b) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan setiap seorang selain pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan pemilik rumah berusia 33 tahun, pada pukul 5.10 petang di lokasi dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilan Ahmad Rofaei memohon kebenaran mahkamah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen selari dengan Seksyen 167 yang dibaca bersama Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi tujuan fakta dan hukuman yang kemudiannya ditetapkan pada 24 Januari ini.

Sebelum itu Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam kenyataannya berkata, kejadian samun yang berlaku pada pukul 5.30 petang, 17 Disember 2024 itu telah menyebabkan seorang ahli perniagaan berusia 32 tahun dan bapanya, 60, mengalami kecederaan.

Katanya, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) insiden itu turut tular dalam media sosial yang menunjukkan dua suspek bertopeng menggunakan senjata parang dan sebatang besi kuku kambing memecah masuk rumah.

“Suspek yang cuba melarikan diri bertindak menyerang kedua-dua mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di tangan, bahu dan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM3,500.

“Rakan wanita mereka yang berusia 35 tahun yang ditangkap bersama-sama pada 20 Disember tahun lalu di Sungkai, Perak pula bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada tarikh sama ditangkap,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here