MUAR – Seorang warga emas dan seorang lelaki Indonesia maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Gombang/Kampung Batu 28, Lenga, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa adalah Md Isa Md Yasan, 69, dan warga Indonesia, Abdul Hamid, 41.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komosioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu hasil panggilan daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal seorang warga Indonesia sedang dalam perjalanan dari arah Lenga menuju Gombang.
“Sebaik tiba ke lokasi, penunggang motosikal itu berlanggar dengan motosikal ditunggang seorang lelaki tempatan yang keluar secara mengejut dari simpang sebelah kiri jalan dari arah Lenga,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran itu, kedua-kedua penunggang motosikal tercampak ke atas jalan serta bahu jalan dan mengakibatkan mereka cedera parah di badan.
Warga emas ujarnya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lelaki warga Indonesia itu meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette