Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

MUAR – Dua suspek yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan di daerah ini dan tular baru-baru ini dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek warga tempatan itu bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana rompak berkumpulan dengan bersenjata.

“Mereka turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan berulang bagi penagih dadah yang pernah disabitkan dengan kesalahan dadah.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan menerima arahan pertuduhan terhadap dua suspek lelaki.

“Seorang daripada mereka turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah, bagi kejadian yang dilaporkan di Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kumar berkata, pada 17 Disember lalu, satu kejadian samun berkumpulan dan bersenjata dilaporkan berlaku di kawasan taman perumahan di sini mengakibatkan mangsa yang juga seorang ahli perniagaan, 32, dan bapanya, 60, mengalami kecederaan.

Katanya, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu turut dikesan tular di beberapa platform media sosial sejurus selepas kejadian dilaporkan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa menyedari dua suspek lelaki bersenjatakan sebilah parang dan sebatang kuku kambing keluar dari rumahnya dan melarikan diri dengan menggunakan sebuah Perodua Myvi warna putih yang diparkir di bahagian hadapan, dalam kawasan rumah mangsa.

“Ketika kedua-dua suspek cuba melarikan diri, berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa dan bapanya cedera di bahagian tangan, bahu dan kaki dan kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira RM3,500,” jelasnya.

Menurut Kumar, kira-kira 11 lagi, 20 Disember lalu, polis berjaya membuat tangkapan terhadap dua suspek lelaki itu dengan seorang wanita warga tempatan yang semuanya berusia antara 34 dan 35 tahun di kawasan Sungkai, Perak.

“Pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat termasuk satu Ipad milik mangsa dan senjata yang dipercayai digunakan ketika kejadian samun itu berjaya dirampas,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah itu didapati positif methamphetamine.

Katanya lagi, dengan penangkapan itu, sebanyak lima kes samun serta pecah rumah yang dilaporkan di negeri ini dan Melaka berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya suspek wanita berusia 35 tahun akan dibebaskan dengan jamin polis hari ini sementara menunggu laporan ujian air kencing diterima dari pihak hospital.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here