KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia tidak akan merudum sekiranya kerajaan mengutamakan rakyat yang dihimpit kemiskinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belum ada negara dunia bangkrap kerana menolong rakyat miskin, malah sesebuah negara muflis kerana sikap pemimpinnya mengkhianati amanat rakyat.
“Yang ada (keruntuhan) sebab gelojoh dan hasad dengki, menindas dan merompak serta tamak haloba.
“Ini yang menyebabkan jatuh negara ini dan saya kalau usaha untuk memberikan upah yang lebih tinggi di mana gaji progresif dan upah yang diambil oleh penjawat awam saya fikir saya sanggup berdepan dan Allah akan memberikan keberkatan.
“Tumpu isu-isu ini rakyat yang merempat masih banyak, mutu pendidikan masih belum selesai, ramai belum dapat pembelaan, tumpukan kepada ekonomi, bangunkan negara kita, jangan sibuk soal remeh,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap paba majlis perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sementara itu, Anwar berkata, terdapat beberapa bilionair di negara ini yang tidak mahu membela rakyat.
“Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat, ada orang punya kekayaan negara melimpah di bank-bank luar negara, saya kata bayar balik kepada rakyat,” kata Anwar.
Bercakap dihadapan lebih 500 belia, Anwar berkata. golongan ini perlu berpaksikan kepada idealisme dan kekuatan semangat yang boleh membawa perubahan negara pada masa depan.
Anwar turut menasihati golongan belia agar tidak berfikiran sempit yang mana ia akan mencacatkan cetusan idea golongan berkenaan.
“Kalau golongan belia itu umurnya muda, fikirannya lembap dan sikapnya hambar dan mudah bertoleransi dengan penyelewengan, rasuah kerana terikat dengan kelompok tertentu maka ini gagal dari segi cetusan hati nurani.
“Ia tak mudah dan tentunya akan sedikit sebanyak melakukan kesilapan kerana kegopohan mereka kadang-kadang belum cukup menghayati atau menimba ilmu tetapi itu dimengerti andai kata ia terpancar daripada semangat keinginan untuk membawa perubahan yang bergelora,” katanya. – MalaysiaGazette