KUALA LUMPUR – Sekreteriat Gerakan Bangkit Sabahan tidak teragak-agak menganjurkan perhimpunan aman kali kedua sekiranya himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 dibuat dalam masa terdekat.
Ketua Penasihatnya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sekretariat yang dianggotai lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) itu menjangkakan himpunan itu bukan sahaja disertai 1,500 peserta, bahkan memberi jaminan jumlah itu jauh lebih besar.
“Kami turut menjangkakan kehadiran peserta kali ini berganda 20 atau 30 kali dengan syarat pihak polis membenarkan perhimpunan ini diadakan.
“Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 juga akan dihadiri oleh 100 peratus anak muda lelaki dan wanita dan diketuai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Semalam, media melaporkan penyelaras gerakan Gempur Rasuah Sabah, Muhamad Fadhil Muhamad Kasim merancang untuk menganjurkan satu lagi perhimpunan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mahasiswa UMS.
Muhamad Fadhil dilaporkan berkata, penganjur perhimpunan itu tidak gentar dengan ancaman saman RM5 juta oleh Sekretariat Bangkit Sabahan pro kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, pihaknya bersedia bergabung dengan penganjur himpunan Gempur Rasuah Sabah iaitu Suara Mahasiswa UMS pada perhimpunan aman kali ini.
“Dengan syarat mereka turut melibatkan sosok tubuh pemimpin Parti Warisan, KDM dan UMNO.
“Ini termasuklah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Peter Anthony serta Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam tuntutan gempur rasuah seperti yang mereka cadangkan,” katanya.
Selain itu, Zulkarnain menegaskan, Gerakan Bangkit Sabahan menolak amalan rasuah di negara ini dan himpunan yang dicadangkan itu semata-mata mahu menyedarkan pelajar-pelajar UMS yang terlibat.
“Pelajar UMS diingatkan tidak melakukan fitnah jahat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman,” katanya.
Bagaimanapun Zulkarnain hairan kerana hanya kedua-dua tokoh ini didesak meletakkan jawatan sedangkan mengikut rekod, mereka tidak pernah dijatuhi hukuman bersalah oleh mana-mana mahkamah di negara ini.
“Kenapa pemimpin seperti Shafie Apdal yang pernah dikenakan tahanan reman dalam kes rasuah projek luar bandar bernilai RM1.5 billion, Peter Anthony kes memalsukan dokumen projek UMS dan Bung Moktar kes rasuah bernilai RM2.8 juta tidak tersenarai dalam tuntutan mereka.
“Atas alasan itu kami berpandangan pelajar-pelajar dan alumni UMS ini sebenarnya digunakan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan presepsi tidak baik ke atas kerajaan GRS-PH di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette