Antara arak tidak bercukai yang dirampas selepas menahan Toyota Vellfire di tepi jalan dalam kawas Taman Plentong Utama, Masai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Rangkaian penyeludup arak kini lebih licik apabila menggunakan kende­raan mewah dalam proses penghantaran atau penyimpanan rokok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, namun kegiatan haram rangkaian terbabit terbongkar hasil serbuan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua pihaknya selepas menahan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire dalam kawasan Taman Plentong Utama, Masai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Toyota Vellfire warna hitam itu ditahan dan diperiksa di tepi jalan pada pukul 10 pagi selepas dipercayai membawa minuman keras tidak bercukai.

“Hasil penahanan itu pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun kerana memiliki 205 kotak minuman keras pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.

“Anggaran nilai rampasan arak ialah RM200,164. Turut dirampas Toyota Vellfire berkenaan bernilai RM150,000 yang digunakan untuk membawa minuman keras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan tersebut berjumlah RM350,165.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Mohd Sohaimi berharap masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan jenayah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here