PETALING JAYA – Jurugambar bebas, Aqo Imran mengaku tidak salah dua pertuduhan mencederakan dua pereka fesyen dalam satu majlis di sebuah hotel di sini kelmarin.
Aqo atau nama sebenarnya, Muhammad Imran Khairul kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan dan mengangguk tanda faham di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
“Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah,” katanya tenang.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran ketika prosiding mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Manakala Peguam Suraj Singh mewakili Aqo merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh bekerja sebagai jurugambar bebas.
Kata beliau anak guamnya, sudah berkahwin dan menanggung ibu bapa, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Farah Azura membenarkan tertuduh dijamin dengan RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan.
Media semalam melaporkan dua pereka fesyen, Razman dan Razmi Abdul Rahman cedera di pipi selepas diserang jurugambar terbabit kemudiannya diberi rawatan kecemasan, sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.
Razmi mengaku ada berhutang dengan tertuduh sejumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta sekitar 2019. -MalaysiaGazette