Sebuah daripada PPS yang dibuka di Kota Tinggi hari ini bagi menampatkan mangsa banjir.

KOTA TINGGI – Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini selepas banjir di beberapa kawasan susulan hujan lebat tanpa henti sejak pukul 7 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri DrAzmi Rohani berkata, setakat pukul 10 malam tadi, empat PPS yang dibuka menempatkan seramai 355 mangsa daripada 124 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas membabitkan seramai 18 mangsa, tiga keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota (154 mangsa, 60 keluarga dari Taman Aman).

“Turut menempatkan mangsa di Sekolah Rendah Agama Bersatu (SRAB) (112 mangsa, 31 keluarga dari Taman Mawai) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana (80 mangsa, 30 keluarga dari Taman Aman dan Taman Mawai).

“Empat PPS lagi iaitu SK Bandar Penawar 1, Dewan Kampung Makam, Dewan Kota Kecil dan SK Teluk Ramunia sedang dikemas kini jumlah mangsa yang terjejas.

“Trend mangsa adalah meningkat berikutan hujan masih berterusan di kawasan terbabit. Proses pendaftaran sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Paras air sungai di empat lembangan sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Skudai di Kampung laut, Johor Bahru (4.16 meter), Sungai Tebrau di Taman Sri Pandan, Johor Bahru (2.51 meter), Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi (2.63 meter) dan Sungai Jemaluang di Kampung Paya Dato, Mersing (2.32 meter).

Hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga Ahad ini.

MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 11.35 pagi tadi, memaklumkan kawasan yang terlibat di Pahang adalah Rompin manakala di Johor membabitkan Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Bagi hujan berterusan tahap buruk, amaran dikeluarkan di beberapa kawasan lain di Pahang iaitu Bera dan Pekan manakala di Johor melibatkan Tangkak, Segamat dan Muar.- MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here