KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menjadi tuan rumah lebih 300 program sepanjang tahun ini sempena Tahun Kepengerusian Asean dengan lebih 180 acara dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa, menekankan program ini akan melibatkan kawasan strategik di Central City melibatkan termasuk tempat penginapan, lokasi mesyuarat, dan pusat sidang kemuncak.
“Sebagai pintu masuk utama negara, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu memastikan persiapan logistik yang menyeluruh.
“Ini termasuk aspek kebersihan, infrastruktur, dan keindahan bandar yang dijangka memberikan pengalaman terbaik kepada delegasi dan pelancong yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi temu rapat bersama warga emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
“Program ini akan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi, termasuk penyelarasan logistik serta pengurusan acara.
“Semua pihak berkepentingan ditekankan agar memastikan perancangan berjalan lancar dan memenuhi standard antarabangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette