Logo Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Foto AIZAT ZAINAL, 9 JANUARI 2025.

GEORGE TOWN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta menteri yang bertanggungjawab diminta lebih peka dalam konteks mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yang Di-Petua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kader Md Ali berkata, ia susulan sebarang promosi yang dilakukan haruslah mencerminkan identiti nasional yang sebenar dengan menjaga serta memartabatkan budaya dan sejarah negara.

Abdul Kader.

Jelasnya, setiap keputusan yang diambil untuk mempromosikan pelancongan negara harus melalui perancangan yang teliti dengan mempertimbangkan semua aspek termasuk undang-undang, perlembagaan dan budaya negara.

“Perancangan mereka (kementerian pelancongan) harus mencerminkan identiti nasional negara kita kerana ia akan memberikan kesan besar kepada persepsi pelancong yang akan melawat ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa sebelum sebarang video pelancaran atau promosi dilakukan pihak yang bertanggungjawab harus terlebih dahulu melakukan semakan dan penelitian secara menyeluruh mengenai kesan dan implikasinya.

“Ini penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan dapat menggambarkan Malaysia dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan cita rasa dan jati diri bangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini,

Tambah beliau, sebagai wakil kerajaan dan rakyat Malaysia, menteri pelancongan dan kementeriannya perlu memastikan bahawa nama baik Malaysia terjaga dan martabat negara dapat diangkat ke persada dunia.

Sebelum ini, media melaporkan elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang lebih terperinci dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, video montaj yang dipertikaikan beberapa pihak kerana tidak memaparkan elemen masjid sebelum ini hanya video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.

Tegasnya, video montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula mengikut pembahagian zon di setiap negeri di seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Untuk rekod, video berdurasi 41 saat yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here