KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik komitmen Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing untuk membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, tindakan itu wajar dan tepat mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Selain kemajmukan masyarakat di Malaysia, institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada negara.
“Usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan Madani melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan King Sing memberi jaminan, elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang lebih terperinci dalam masa terdekat.
Menurut King Sing, berkata, video montaj yang dikritik selepas tidak mempamerkan elemen masjid sebelum ini hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat.
Mohd Naim juga berkata, usaha pengukuhan Islam telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi Kerajaan, pihak berkuasa agama Islam Negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Semua pihak adalah diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette