Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2024 (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyaki kerajaan Arab Saudi memperoleh kedua-dua nombor akaun peribadinya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk kemasukan wang yang diyakininya sebagai derma politik.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak pasti siapa yang berkongsi kedua-dua nombor akaunnya dan kemungkinan ia perbuatan Jho Low.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Najib berkata dia tidak pernah mempersoal bagaimana keluarga diraja Arab Saudi mendapat nombor-nombor akaunnya.

“Saya tidak pasti siapa yang beri kepada pihak Arab Saudi, kemungkinan orang lain beritahu, mungkin Jho Low,” ujar Najib pada sesi soal balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Keterangan beliau berkisar tentang sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi selepas Raja Abdullah (kini Almarhum) pada 2010 berjanji untuk memberikan sumbangan politik sebagai bantuan negara Islam.

Kamal Baharin: Bagaimana pemberi sumbangan itu tahu nombor akaun kamu?

Najib: Saya tidak tahu.

Kamal Baharin: Ini akaun peribadi kamu, bagaimana orang lain boleh tahu?

Najib: Saya tidak tahu, mungkin orang lain yang kongsikannya.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhadd (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman sejak awal minggu, bersambung Isnin ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here