MUAR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menikam anggota bomba dengan gunting hingga cedera ketika cuba menenangkannya dalam kejadian amuk di Taman Tun Dr Ismail, di sini, minggu lalu.
Mahathir Mohamed, 44, membuat mengaku salah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sendiri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap penjawat awam iaitu anggota bomba berusia 38 tahun menggunakan gunting di lengan kiri, di taman itu antara pukul 6.20 hingga 7.20 malam pada 3 Januari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima panggilan dari Bilik Gerakan Polis Muar untuk ke lokasi bagi membantu menangkap tertuduh.
Ketika itu, tertuduh mengugut mahu mencederakan sesiapapun sekiranya mereka mendekatinya dan cuba menangkapnya.
Sebaik mangsa bersama-sama anggota lain tiba, dia mendapati tertuduh berada dalam rumah sambil memegang gunting.
Polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk membuat pancutan air ke arah tertuduh yang kemudiannya melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya.
Mangsa berjaya menahan tertuduh sehingga berlaku pergelutan. Tertuduh bertindak menikam lengan kiri mangsa dengan gunting hingga parah selain luka di pergelangan tangan kiri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaei manakala tertuduh diwakili Norhafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan memerintahkan penjara lapan bulan jika gagal membayarnya.- MalaysiaGazette