KUALA LUMPUR – Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris dilarang oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain sehingga kes saman terhadapnya diputuskan.
Perkara itu ditentukan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan injunksi inter-parte (secara dua pihak) oleh Razarudin selaku plaintif yang menghalang Wan Muhammad Azri atau dikenali Papagomo mengeluarkan kenyataan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri (defendan) membayar kos sebanyak RM10,000 dan menetapkan 20 Januari ini untuk pengurusan kes.
Pada prosiding itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi, secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.
Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Terdahulu, peguam S. Raam Kumar yang mewakili Razarudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan notis permohonan injunksi ex-parte, afidavit plaintif serta surat mengenai pendengaran injunksi inter-parte kepada Wan Muhammad Azri secara peribadi pada 3 Januari lalu.
“Surat itu memaklumkan bahawa hari ini adalah pendengaran permohonan injunksi inter-parte di mahkamah ini, namun setakat ini defendan atau peguamnya tidak hadir,” kata peguam itu.
Sementara itu, hakim berkenaan berkata, firma guaman Law Practice of Rafique telah memaklumkan kepada mahkamah pagi ini bahawa pihaknya akan mewakili Wan Muhammad Azri dan mengarahkan peguam yang bertindak bagi pihak Razarudin untuk menghubungi pejabat firma guaman terbabit sebelum menangguhkan prosiding selama sejam.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan prosiding pendengaran itu diteruskan selepas Raam Kumar memaklumkan beliau telah menghubungi pejabat firma guaman itu sebanyak 10 kali, namun panggilannya tidak dijawab.
“Notis permohonan dan afidavit plaintif berserta surat mengenai pendengaran hari ini telah diserahkan kepada defendan pada 3 Januari lalu dan defendan ada melantik peguam, namun gagal hadir ke mahkamah.
“Peguam plaintif telah cuba menghubungi pejabat peguam tersebut banyak kali pada pagi ini tetapi panggilan tidak dijawab, oleh itu pendengaran inter-parte diteruskan,” kata hakim.
Pada 26 Disember lalu, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.
Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – MalaysiaGazette