JOHOR BAHRU – Sepasang ‘kekasih gelap’ didakwa di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam tuduhan mengedar dan memiliki dadah pada Disember lalu.
Di hadapan Majistret A Shaarmini, Noor Haimi Ayhari, 49, dan warga Singapura, Nur Anne Mohd Hussin, 38, didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 62 gram methamphetamine dan 39.4 gram kanabis di sebuah apartment di Country Garden, Jalan Aliff Harmoni Utama, Taman Damansara Aliff di sini pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Sementara di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, pasangan itu didakwa mengedar 510 gram ganja di sebuah rumah dekat Apartment Seri Impian, Jalan Larkin Perdana 1 di sini pukul 6.20 pagi pada tarikh yang sama.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39(A)(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta itu dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sehingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka yang masing-masing sudah berkahwin dan merupakan penganggur, faham akan semua pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.
Di hadapan Majistret R Salini pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan memiliki 3.8 gram heroin, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 14 gram bahan psikotropik iaitu nitrazepam.
Tiga perbuatan itu didakwa dilakukan diĀ apartment dekat Taman Damansara Aliff l, pukul 4.15 pagi pada 31 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Noor Haimi dan Nur Anne turut mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Salini dan Shaarmini atas tuduhan memberikan methamphetamine ke dalam badan mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini pukul 10.13 pagi, pada 31 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, Nur Anne turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga dua anggota polis di tepi Jalan Persiaran Aliff Harmoni, Taman Damansara Aliff di sini pukul 1 pagi, pada tarikh yang sama.
Dia yang mengaku tidak bersalah di hadapan Shaarmini didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Februari dan 10 Mac depan bagi serahan dokumen dan sementara menunggu laporan patologi.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Nor Afiqah Musa dan Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pertuduhan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.- MalaysiaGazette