KUALA LUMPUR – Pendatang asing tanpa izin (PATI) berlagak ala ‘tauke’ atau pemilik gerai yang cuba memonopoli perniagaan sekitar Jalan Petaling di sini, bertempiaran lari dalam serbuan ‘KL Strike Force’ petang tadi.

Menerusi serbuan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bermula jam 6 petang itu kecoh apabila beberapa PATI cuba mengelak daripada ditahan pihak penguatkuasa di kawasan tumpuan pelancong itu.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan hasil aduan peniaga tempatan kerana berlaku persaingan tidak sihat susulan kehadiran penjaja warga asing di kawasan tersebut.

“Hasil risikan kita selama dua minggu mendapati, modus operandi segelintir PATI ini berniaga secara ‘ali baba’ dengan berpura-pura sebagai pekerja, selain ada yang bekerja secara bergilir-gilir dan sambilan.

“Bukan itu sahaja, mereka sebenarnya telah menguasai beberapa gerai di Jalan Petaling ini. Warga asing tidak dibenarkan memiliki atau mengendalikan perniagaan sendiri di negara ini dan ia jelas
melanggar undang-undang,” katanya.

Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Tambah Wan Mohammad Saupee, dalam serbuan selama sejam itu, 77 warga asing telah diperiksa dengan 34 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, ia termasuk tidak mempunyai dokumen sah, menyalahgunakan pas kerja, dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Antara yang ditahan melibatkan 26 warga Bangladesh, Myanmar (4), Pakistan (2) serta masing-masing seorang warga Mauritius dan Nepal.

“Selain itu, empat pemilik premis perniagaan tempatan yang menggaji PATI tanpa dokumen sah telah diarahkan hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berlaku, pihaknya akan terus memantau aktiviti PATI di kawasan pelancongan itu bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan peniaga tempatan serta warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here