JOHOR BAHRU – Empat lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah malam tadi, direman selama enam hari bermula hari ini.
Permohonan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tempoh tahanan reman sehingga Rabu depan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas semua suspek itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, semua suspek yang berusia antara 49 hingga 53 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dalam keadaan tangan bergari.
Hari ini, SPRM Johor dalam satu kenyataan media memaklumkan telah menahan empat individu yang juga pengarah dan setiausaha sebuah syarikat swasta di Pejabat SPRM Johor pukul 11 malam tadi.
Difahamkan, tangkapan ke atas keempat-empat individu itu dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 KTN.
Ini bertujuan untuk mendapatkan Geran Hakmilik yang baru kepada Pejabat Tanah Dan Galian Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan di dalam geran yang membabitkan beberapa dokumen.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.- MalaysiaGazette