Keadaan Sungai Skudai yang tercemar dan berwarna hitam menimbulkan bau busuk di Kampung Sepakat Baru, Skudai, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 1,800 penduduk Kampung Sepakat Baru, Skudai, di sini, menghidu bau busuk akibat pencemaran sejak lebih dua minggu lalu.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pencemaran bau berkenaan berpunca dari Sungai Skudai berhampiran penempatan mereka.

“Penduduk mengesan pelepasan air bewarna hitam ke Sungai Skudai. Ini bukan saja mengakibatkan warna sungai berubah kehitaman malah berbau busuk.

“Bau busuk itu menusuk hidung, ia lebih kuat daripada bau sampah dan kami bimbang keadaan ini boleh mengancam kesihatan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sungai Skudai merupakan antara sembilan sungai di Johor yang disenaraikan dalam kategori sungai tercemar negara pada 2023 dan dikategorikan berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat, oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada dua tahun lalu.

Sungai tersebut terletak berhampiran kediaman dan pusat komersil serta kawasan perindustrian

Mengulas lanjut, Azmi berkata, situasi tersebut sudah berlarutan lebih dua minggu dan kebiasaannya bau lebih kuat ketika cuaca panas.

Katanya, pencemaran juga dikhuatiri boleh menjejaskan eko sistem sungai dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secepat mungkin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihaknya sudah menyalurkan permasalahan berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kami menerima aduan berkaitan pencemaran dan bau kurang menyenangkan daripada penduduk kampung dan sudah menyalurkan isu terbabit kepada JAS,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here