Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus insuran tidak lena tidur apabila RM1.3 juta wang miliknya lebur selepas terlibat dengan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan keuntungan besar.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu lelaki yang berusia 59 tahun tertarik dengan pelaburan saham tersebut.

“Pada November lalu, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Iris Ng.

“Suspek menawarkan mangsa untuk melabur dalam jual beli saham yang menjanjikan keuntungan 580 peratus dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi untuk tujuan pendaftaran dan juga bagi memantau akaun pelaburannya.

Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan katanya, mangsa melakukan 15 transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM1,400,500 antara November lalu hingga bulan ini.

Beliau berkata, selepas semakan menerusi aplikasi yang di muat turun mencatatkan keuntungan diperolehnya berjumlah RM4.7 juta.

“Teruja dengan keuntungan tersebut, mangsa memutuskan untuk mengeluarkan keuntungan yang diperoleh, namun dia hanya menerima RM7,500 dan perlu membuat pembayaran untuk mengeluarkan keuntungan itu,” ujarnya.

Mangsa katanya, tidak membuat pembayaran yang diminta dan percaya dirinya ditipu lalu membuat laporan polis semalam dengan kerugian dialami RM1,393,500.

Kumar memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta denda.

“Pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan sebarang tawaran pelaburan dalam media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan masa yang singkat,” katanya.

Orang ramai katanya, disaran membuat semakan dengan agensi seperti polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkenaan pelaburan yang ditawarkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here