Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani siri 4 di EQ Hotel. Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua kanan), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng (kanan). FOTO MUHAIMIN MARWAN, 10 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk meminda kuasa digital bagi menangani isu scam atau penipuan yang menjadi ancaman besar kepada pengguna di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi mengawal sosial media yang mudah disalahkan oleh golongan scammer.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi (telco) sudah dimaklumkan tentang pindaan itu di mana Bank Negara Malaysia akan mengkoordinasinya.

“Bank Negara sedang koordinasi dan telco sudah dimaklumkan ada cadangan untuk pinda kuasa digital untuk kawal sosial media tentang scam.

“Ini sedang diperhatikan tetapi kebimbangan kita ada reaksi undang-undang itu terlalu ketat dan mungkin kita boleh menelitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 4, di sini, hari ini.

Turut hadir sebagai panel forum adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjawab soalan seorang peserta mengenai isu scam yang semakin serius di negara di mana mangsa adalah rakyat biasa dengan nilai kerugian mencecah lebih RM1 bilion.

Hari ini, polis berkata, jumlah kerugian dicatat membabitkan pelbagai modus operandi penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu melebihi RM1.57 bilion.

Modus operandi penipuan telekomunikasi mencatat kes tertinggi sebanyak 14,684 kes dengan nilai kerugian melebihi RM497.12 juta.

Sementara itu, FIM merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim diadakan sebagai satu bentuk wacana intelektual dan selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi yang memainkan peranan penting untuk memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman oleh ilmuwan dan masyarakat dalam pelbagai bidang berlandaskan pendekatan senegara (Whole-of-Nation approach). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here